1. Masih Mengenang Kegemilangan Lalu
Ramai penuntut di kolej/universiti adalah pelajar-pelajar
cemerlang di sekolah menengah. Ini memberi mereka rasa selamat yang palsu.
Mereka mungkin telah menjadi pelajar kesayangan guru dan pelajar cemerlang dalam
kelas mereka tetapi apa yang mereka tidak sedar ialah apabila mereka masuk ke
kolej/universiti, mereka sedang belajar dengan 200 lagi pelajar cemerlang.
Mereka juga tidak sedar bahawa mereka sedang mempelajari subjek yang
keseluruhannya baru yang mana mereka perlu mendapat bimbingan untuk memperolehi
ilmu pengetahuan. Oleh yang demikian, jika pendekatan mereka silap, sukar bagi
mereka untuk memahami apa yang mereka sedang pelajari.
2. Kejutan Budaya
Penuntut yang masuk ke kolej/universiti akan mengalami
perubahan yang mendadak dalam budaya hidup dan budaya belajar mereka yang mana
kini mereka hidup berjauhan daripada ibu bapa mereka atau disiplin ketat
sekolah berasrama. Oleh kerana kehadiran ke kuliah tidak diambil maka tidak ada
sesiapa pun yang tahu jika seseorang itu ponteng kuliahnya. Di sekolah atau
pusat matrikulasi, semua yang perlu dipelajari oleh pelajar diberi oleh guru
atau tutor. Sebaliknya di kolej/universiti, pensyarah bertugas membekalkan
prinsip-prinsip asas dan ilmu pengetahuan teras yang perlu diperluaskan oleh
penuntut-penuntut sendiri dan berkeupayaan menggunakan ilmu yang diberi.
Kejutan budaya yang mendadak ini menyebabkan ada
penuntut-penuntut menghadapi kesukaran menyesuaikan diri mereka. Sekiranya
keadaan ini tidak di tekankan kepada penuntut-penuntut dan menyediakan mereka
bersedia terhadap kenyataan ini, kejutan budaya ini boleh menjejaskan prestasi
mereka. Pendekatan pembelajaran berasaskan masalah yang digunakan di
kolej/universiti adalah sesuatu yang baru dan ia menggunakan kaedah
pembelajaran terarah pada penuntut dan ia adalah amat berbeza daripada kaedah
belajar di sekolah.
Situasi sebenar: Seorang penuntut yang baru masuk ke
kolej/universiti diberi sebuah kereta dan telefon bimbit dan tinggal di
pangsapuri bersama kawan-kawannya. Dengan budaya berkumpulan ini mereka keluar
makan malam pada pukul 8 malam dan balik pada jam 10 malam, kemudian baru mula
belajar. Mereka meneruskan rutin ini sehingga semua ahli dalam kumpulan ini
gagal peperiksaan dalam peperiksaan tahun pertama. Selepas gagal percubaan
mengulangi peperiksaan yang sama mereka terpaksa bertukar ke fakulti lain.
3. Memilih Atau Dipilih Oleh Rakan-rakan Yang ‘Salah’
Bercakap melalui pengalaman saya, saya dapati ramai pelajar
yang cemerlang di sekolah tidak menunjukkan prestasi sebaik yang sepatutnya di
universiti oleh kerana mereka bergaul dengan kumpulan rakan yang salah yang
tidak tahu keutamaan dan matlamat penuntut kolej/universiti. Mereka suka dan
teruja bertemu kawan-kawan baru dan menemui cara-cara baru menghabiskan masa
berhibur sesama mereka terutama sekali apabila mereka mendapat banyak wang
daripada ibu bapa kaya yang berfikir anak mereka akan mencapai prestasi yang
baik jika mereka diberi segala-galanya.
4. Hilang Semangat
Ramai pelajar belajar bersungguh-sungguh untuk peperiksaan
semata-mata untuk masuk universiti. Malangnya, haluan masa depan kerjaya mereka
selepas masuk ke universiti tidak difikirkan dulu atau dibincangkan dengan
kaunselor sekolah. Setelah bertungkus-lumus untuk masuk ke universiti, mereka
hilang semangat dan hilang motivasi untuk belajar.
5. Dipaksa Oleh Ibu Bapa Untuk Mengambil Jurusan Tertentu
Contohnya, bidang perubatan. Ada juga penuntut-penuntut yang
tidak berminat dalam jurusan perubatan tetapi masuk ke kolej/universiti kerana
dipaksa oleh ibu bapa mereka. Subjek-subjek perubatan tidak boleh dipelajari
jika seseornag itu tidak berminat. Melalui pengalaman saya, saya pernah melihat
pelajar yang sudah masuk tahun empat berhenti kerana mereka tidak dapat
meneruskan dan terpaksa memulakan pengajian di fakulti lain.
6. Belajar Bersendirian
Sewaktu menuntut di kolej/universiti, belajar dalam kumpulan
adalah sangat penting. Tiga sebab utama kenapa ada penuntut-penuntut tidak
belajar dalam kumpulan:
Tidak mahu orang lain tahu tentang kejahilan mereka dalam
subjek-subjek yang diambil
Takut berkongsi pengetahuan mereka dengan rakan-rakan yang
lain yang mungkin memperolehi markah yang lebih tinggi daripada mereka
Tidak mahu berusaha lebih
Melalui pengalaman saya, ramai penuntut yang tidak mendapat
prestasi baik adalah mereka yang tidak mempunyai kumpulan belajar dan hanya
berpuas hati duduk di perpustakaan berjam-jam lamanya dan membaca buku. Apabila
mereka tidak lulus dengan baik dalam peperiksaan, mereka menjadi murung kerana
tidak ada tempat mengadu. Keadaan ini menyebabkan mereka patah semangat dan
hilang dorongan untuk belajar. Akhirnya berlakulah lingkaran ganas sebab dan
akibat dengan mengakibatkan bertambah lagi kehilangan semangat mereka.
Sebaliknya penuntut-penuntut yang ada kumpulan belajar lulus dengan lebih baik
dan jika ada di antara mereka yang lulus tidak sebegitu baik, rakan sekumpulan
akan cuba membantu mereka sebab kelemahan setiap ahli telah didedahkan semasa
sesi perbincangan.
7. Terlalu Bersaing dan Tidak Bekerjasama
Keadaan ini lazim berlaku dikalangan penuntut-penuntut
perempuan. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan mereka adalah pelajar
cemerlang di sekolah menengah atau pusat matrikulasi. Akibatnya, mereka mahu
kekal menjadi pelajar cemerlang dan menjadi terlalu bersemangat serta cuba
mendapat sebanyak ilmu pengetahuan yang boleh, tanpa memberi pertimbangan
kepada orang lain. Masalah ini dijelmakan dalam salah satu atau semua tingkah
laku berikut:
Berebut mendapat perhatian pensyarah
Bersikap mementingkan diri dan tidak rela berkongsi dengan
orang lain nota- nota dan buku-buku yang baik yang diberi pelajar senior
Mengawal atau mendominasikan sesi makmal dan tidak beri
peluang kepada orang lain menyertai membuat eksperimen
Menyembunyikan fakta yang mereka telah pelajari
Belajar di kolej/universiti diibaratkan seperti berperang.
Kita tidak boleh melakukannya bersendirian. Kerja berkumpulan amat penting.
Tidak ada siapa menjadi pesaing dan semua orang merupakan rakan seperjuangan.
Semua ahli mesti berkongsi kelengkapan perang untuk memenangi peperangan dan
memperolehi kejayaan bersama. Tidak ada kuota berapa orang patut dapat A di
kolej/universiti. Hakikatnya, seorang rakan yang mendapat A tidak akan merampas
peluang kita untuk mendapat A. Lebih banyak kita memberi, lebih banyak kita
mendapat. Dengan kata lain, lebih banyak kita memberi ilmu pengetahuan kepada
rakan-rakan kita, berkongsi nota dengan mereka, lebih banyak mereka akan
berkongsi dengan kita. Dengan itu dua tambah dua jadi lima, ini yang kita
panggil SINERGI.
by PROF. DR. MUHAYA HJ MOHAMAD
BAGAIMANA MENJADI SEORANG PELAJAR YANG BAIK DAN BERJAYA